Kerajaan Kush

Definition

Joshua J. Mark
by , translated by Amir Zayyanid
published on 26 February 2018

Original text in English: The Kingdom of Kush

Kushite Archers (by The Creative Assembly, Copyright)

Kush merupakan sebuah kerajaan yang terletak di Afrika Utara, sekitar Sudan moden. Wilayah sekitar Kush (kelak dirujuk sebagai Nubia) telah pun dihuni seawal tahun 8000 Sebelum Masihi, namun Kerajaan Kush hanya menempa nama dalam rekod sejarah pada beberapa tempoh waktu kemudian. Kebudayaan Kerma mengambil nama sempena kota Kerma yang terletak di wilayah itu dan telah dibuktikan menjangkau usia sehingga 2500SM. Bukti arkeologi dari Sudan dan Mesir turut menunjukkan bahawa masyarakat Mesir dan Kush saling berhubung sejak Zaman Dinasti Awal di Mesir lagi (c. 3150 - c. 2613 SM). Ketamadunan yang dipanggil sebagai ‘Kushite’ (Kush) mungkin berkembang daripada kebudayaan tersebut, namun ia telah dipengaruhi dengan kuat oleh kebudayaan Mesir.

Walaupun sejarah keseluruhan kerajaan itu menjangkau usia yang agak purba, Kerajaan Kush meniti masa-masa perdananya pada rentang waktu antara tahun 1069 SM hingga 350 M. Kerajaan Baru di Mesir (c. 1570-1069SM) yang mengalami fasa terakhir kejatuhannya pada tahun 1069 SM telah menguatkan lagi kedudukan negara kota Kerajaan Kush (Kushite) yang terletak di Napata. Sejak itu, Kerajaan Kush tidak perlu lagi risau tentang pencerobohan yang dilakukan oleh Mesir ke atas wilayah mereka memandangkan Mesir sendiri pada waktu itu berhadapan dengan masalah yang cukup menyibukkan mereka. Masyarakat Kush kemudian menubuhkan Kerajaan Kush dengan menjadikan Napata sebagai ibu kota. Lantas, Kush menjadi pemegang kuasa di wilayah itu sementara Mesir masih terus mengalami masa-masa sukar.

Remove Ads

Advertisement

Raja-raja Kush menjadi firaun-firaun yang memerintah Dinasti ke-25 Mesir sambil puteri-puteri mereka pula mendominasi landskap politik Thebes dalam mengaut kedudukan sebagai Isteri Dewa Amun. Raja Kushite yang bernama Kashta (c. 750 SM) merupakan orang pertama yang menabalkan dirinya sendiri sebagai penguasa Mesir dan menyokong puterinya, Amenirdis I, untuk menjadi Isteri Dewa Amun. Tindakan beliau ini kemudian disusuli oleh beberapa orang raja Kush yang lain. Mereka memerintah sehingga berlakunya serangan Assyria ke atas Mesir pada tahun 666 SM yang dilakukan oleh Ashurbanipal.

Pada c. 590 SM, Napata dijarah oleh firaun Mesir yang bernama Psammeticus II (595-589 SM) dan ibu kota Kush kemudiannya dipindahkan ke Meroe. Kerajaan Kush terus bertahan dengan Meroe dijadikan sebagai ibu kota, hinggalah berlaku serangan yang dilancarkan oleh Kerajaan Aksum (c. 330 M) yang meranapkan kota dan menghancurkan kerajaan tersebut. Walau tanpa berlakunya serangan Kerajaan Aksum ini sekalipun, Kerajaan Kush dan kota-kotanya bakal menghadapi kemusnahan akibat penggunaan sumber asli yang berlebihan. Rentetan peristiwa itu, kota Meroe dan Kerajaan Kush menjadi semakin kecil dan hanya mampu bertahan selama 20 tahun sebelum berakhir pada c. 350 M.

Remove Ads

Advertisement

Penamaan Kerajaan Kush

Wilayah tersebut dikenali oleh masyarakat Mesir sebagai Ta-Sety ("Negara Busur Panah"), merujuk kepada pemanah-pemanah Kush yang terkenal mahir pada zaman Kerajaan Lama Mesir (c. 2613-2181 SM). Sementara itu, wilayah utara yang bersempadan dengan Mesir pula dipanggil sebagai Wawat. Panggilan para penduduk tempatan terhadap wilayah Kush pada masa itu sendiri tidak dapat dipastikan. Mungkin ia sememangnya dikenali sebagai Kush – atau terdapat variasi sebutan – memandangkan inskripsi-inskripsi Mesir juga merujuknya sebagai Kus, Kas, dan Kash. Penggunaan ‘Kush’ kelihatan lebih asli berbanding yang lain. Sementara itu, nama yang digunakan untuk merujuk pada wilayah yang sama pada era terkemudian, iaitu Nubia, cenderung datang daripada masyarakat Mesir sendiri sebagai panggilan kepada wilayah utara.

Wilayah Kush merupakan sumber emas utama buat masyarakat Mesir. Justeru diandaikan bahawa ‘Nubia’ diambil dari perkataan Mesir untuk emas, iaitu ‘nub’. Namun, terdapat teori lain yang mendakwa bahawa ‘Nubia’ diambil sempena nama masyarakat yang dipanggil sebagai Noba atau Nuba yang mendiami kawasan itu. Masyarakat Mesir turut merujuk wilayah tersebut sebagai Ta-Nehsy ("Tanah Orang Hitam"). Penulis-penulis Yunani dan Rom pula merujuk wilayah itu sebagai Aethiopia ("Tanah Orang Berwajah Terbakar") bersempena keadaan masyarakatnya yang berkulit hitam. Sambil itu, kabilah-kabilah Arab mengenali mereka sebagai Bilad as-Sudan ("Tanah orang-orang Hitam"). Walau apa sekalipun keadaannya, perlu dinotakan bahawa panggilan-panggilan tersebut mungkin merujuk kepada seluruh wilayah tersebut dan mungkin juga tidak – hanya sebahagian sahaja.

Kota Kerma & Masa-Masa Awal Kush

Kota Kerma ditubuhkan di Kush pada c. 2400 SM dan memiliki kekuatan yang cukup untuk mengancam kedudukan Mesir, sebagaimana yang dibuktikan dalam inskripsi-inskripsi Mesir. Kota Kerma turut dilengkapi dengan kubu-kubu pertahanan yang membolehkannya menahan serangan dari selatan. Pun begitu, raja-raja Kerma dan Mesir menjalinkan hubungan perdagangan dua hala dan Mesir banyak bergantung pada Kerma untuk mengimport barangan seperti emas, kayu hitam, setanggi, haiwan-haiwan eksotik dan gading gajah serta barang-barang mewah yang lain.

Remove Ads

Advertisement

Kota tersebut berpusatkan sebuah binaan yang dikenali sebagai deffufa, iaitu pusat keagamaan yang berbenteng. Ia dibina menggunakan bata yang diperbuat daripada lumpur dan dinaikkan setinggi 59 kaki (18 meter). Laluan dalam dan tangga-tangganya membawa kepada sebuah altar yang dibina di atas lantai rata. Altar tersebut menjadi tempat berlangsungnya upacara-upacara tertentu yang tidak dapat dipastikan apakah tujuannya. Deffufa (secara bahasa bermaksud ‘timbunan’ atau ‘kelompokan’) paling besar yang dikenali pada hari ini dipanggil sebagai Deffufa Barat. Terdapat sebuah lagi deffufa yang lebih kecil di sebelah timur dan begitu juga dengan deffufa ketiga yang lebih kecil lagi. Diandaikan bahawa deffufa-deffufa ini membentuk kawasan segi tiga yang pada pusatnya dibina sebuah kota yang dikelilingi oleh tembok.

Western Deffufa Temple, Kerma
Western Deffufa Temple, Kerma
by Walter Callens (CC BY)

Kebudayaan Kerma dianggarkan meniti masa-masa perdananya pada rentang waktu antara tahun 2400 hingga 1500 SM. Wilayah tersebut ditakluk oleh Raja Mesir yang bernama Mentuhotep II pada permulaan zaman Kerajaan Pertengahan (2040-1782 SM). Namun, Kerma kekal sebagai sebuah metropolis hebat dan menjelang Zaman Pertengahan Kedua Mesir (c. 1782 - c, 1570 SM), ia berkembang menjadi sebuah negara kota yang cukup berkuasa untuk mencabar kekuatan Mesir bersama dengan sebuah lagi komuniti yang dikenali sebagai Hyksos. Hyksos turut mengukuhkan kedudukan sebagai kuasa politik dan ketenteraan yang terletak di daerah utara Delta Mesir.

Kerajaan Kush dan Hyksos menjalinkan hubungan perdagangan dengan masyarakat Mesir di Thebes sehingga zaman pemerintahan Ahmose I (c. 1570-1544 SM) di mana raja Mesir itu mengusir Hyksos dari Mesir dan kemudian mara ke selatan untuk menewaskan Kerajaan Kush. Kempen-kempen ketenteraan Mesir ke atas Kush berlanjutan semasa pemerintahan Thutmose I (1520-1492 SM) dan Thutmose III (1458-1425 SM). Tahun 1500SM dicatatkan secara umum sebagai zaman pengakhiran kekuasaan Kerma, yang mana pada tempoh tersebut kota itu diserang oleh Thutmose I. Kemudian, Thutmose III menubuhkan negara kota Napata selepas berakhirnya kempen ketenteraan yang berhasil menerapkan pengaruh Mesir di wilayah itu.

Remove Ads

Advertisement

Napata

Sejak awal penubuhannya lagi, negara kota Napata jelas dipengaruhi oleh budaya Mesir. Para pemerintah kota itu dimakamkan di permakaman piramid bersama barang-barang pengebumian Mesir. Hal ini menyukarkan kerja-kerja pentarikhan pada beberapa buah makam memandangkan makam raja Kush yang baru mungkin mengandungi barang-barang yang berusia 200 tahun lebih tua berbanding tempoh pemerintahannya. Kekurangan rekod bertulis juga menyukarkan lagi usaha pentarikhan. Derek A. Welsby pernah mencatatkan bahawa “mempelajari sejarah Kerajaan Kush seumpama membaca kisah detektif yang mana sejumlah faktanya yang saling bercanggah dan kontradik itu perlu digayakan dan disulam sehingga menjadi naratif peristiwa yang munasabah dan saling berhubung kait" (9). Pun begitu, negara kota Napata jelas berfungsi sebagai pusat keagamaan bagi wilayah itu dan merupakan kota yang kaya berkat aktiviti perdagangan yang berjalan dengan begitu pesat.

Thutmose III pernah membina Kuil Amun yang agak besar di bawah gunung Jebel Barkal yang terletak berhampiran. Kuil tersebut kekal berfungsi sebagai pusat keagamaan yang penting di wilayah itu. Firaun-firaun terkemudian seperti Ramses II (1279-1213 SM) lantas membuat penambahan pada Kuil Amun dan kota tersebut. Paderi-paderi Amun pula menjalankan kuasa politik yang serupa ke atas pemerintah Kush sebagaimana kuasa politik yang dijalankan terhadap raja-raja Mesir sejak zaman Kerajaan Lama.

Kejatuhan Mesir merupakan kebangkitan Kush, dan Kerajaan Kush memasuki rekod sejarah secara rasmi pada tahun 1069 SM apabila raja-raja Kush mula memerintah tanpa tertakluk atau merujuk pada monarki

Walau bagaimanapun, semasa Kerajaan Baru mengalami kejatuhan pada tahun 1069 SM, negara kota Napata menjadi semakin berkuasa sebagai sebuah entiti politik yang merdeka dari pengaruh Mesir. Paderi-paderi Amun di Mesir secara bertahap meraih kuasa yang lebih besar di Thebes dan menjelang Zaman Pertengahan Ketiga Mesir (c. 1069-525 SM), paderi tinggi di Thebes memerintah Mesir Hulu (Upper Egypt) sementara firaun pula memerintah Mesir Hilir (Lower Egypt) yang berpusat di kota Tanis.

Kejatuhan Mesir merupakan kebangkitan Kush, dan Kerajaan Kush memasuki rekod sejarah (secara rasmi) pada tahun 1069 SM apabila raja-raja Kush mula memerintah tanpa tertakluk atau merujuk pada monarki dan dasar-dasar Mesir. Kota Napata dipilih sebagai ibu kota bagi kerajaan baru itu. Mereka terus menjalankan aktiviti perdagangan dengan Mesir sambil mengembangkan hubungan dengan negara-negara lain. Pada awalnya, raja-raja mereka dimakamkan di Kerma. Namun kemudian, permakaman diraja didirikan di kota Napata. Kerajaan tersebut berkembang secara bertahap sehingga ia meraih kekuatan yang cukup untuk merampas kepentingan milik Mesir pada bila-bila masa sahaja. Apabila masa tersebut benar-benar berlaku, mereka tidak memasuki Mesir sebagai pihak penakluk, tetapi sebagai pihak pemerintah yang memelihara budaya Mesir.

Dinasti Ke-25

Walaupun tidaklah sekalut dan segelap seperti yang digembar-gemburkan oleh ahli kaji Mesir, Zaman Pertengahan Ketiga di Mesir sememangnya mengalami kejatuhan dalam soal kekayaan dan prestij. Pada masa yang sama, Kush pula mengalami zaman perdana dan raja pertama mereka yang dikenali sebagai Alara berhasil menyatukan kerajaan itu dan memperkukuhkan istiadat keagamaan yang berpusat di kota Napata. Tarikh tepat berlakunya penyatuan itu tidak dapat dipastikan (walaupun terdapat banyak tarikh cadangan). Alara merupakan figura legenda buat Kush kerana pemerintahannya berlangsung panjang dan dipenuhi dengan kegemilangan. Namun, kewujudannya hanya dapat disahkan menerusi inskripsi-inskripsi purba dan penemuan sesuatu yang mungkin boleh dikatakan sebagai makamnya.

Pewaris Alara, iaitu Kashta pula sangat memandang tinggi budaya Mesir. Oleh kerana itu, beliau membawa masuk artifak-artifak dari utara (Mesir) dan mengasimilasikan budaya Mesir ke dalam kota Napata dan Kerajaan Kush. Semasa Mesir mula merudum dan kuasa pemerintahan di Mesir Hilir semakin kurang berpengaruh di Mesir Hulu, Kashta secara sulit melantik puterinya, Amenirdis I sebagai Isteri Dewa Amun di Thebes. Besar kemungkinan beliau mampu berbuat demikian berkat hubungan yang terjalin akrab antara Paderi-Paderi Amun di Napata dan Thebes, walaupun tiada sebarang dokumentasi yang dapat mengesahkan dakwaan ini. Kedudukan Isteri Dewa Amun yang kali pertama diwujudkan semasa Zaman Kerajaan Pertengahan mula mengalami perkembangan dalam kepentingannya sehingga menjelang zaman pemerintahan Kashta, seorang wanita yang menyandang jawatan tersebut memiliki kuasa yang sama dengan Paderi Tinggi Amun dan memegang kuasa politik yang besar serta harta kekayaan yang banyak.

Mummy of Amenirdis
Mummy of Amenirdis
by Mark Cartwright (CC BY-NC-SA)

Amenirdis I mengambil-alih Thebes dan kemudian menuntut kekuasaan ke atas Mesir Hulu. Putera-putera Mesir Hilir pada masa itu disibukkan dengan konflik masing-masing. Makanya, Kashta dapat tiba di Thebes dan mengisytiharkan dirinya sebagai Raja Mesir Hulu dan Hilir. Tanpa menghimpunkan sebarang pasukan tentera atau memulakan sebarang konflik dengan masyarakat Mesir, beliau berjaya mengasaskan Dinasti ke-25 Mesir. Dalam dinasti tersebut, negara itu diperintah oleh monarki Kush. Kashta tidak berpeluang hidup lama selepas mengecapi kejayaannya itu dan beliau diwarisi oleh puteranya yang bernama Piye (747- 721SM).

Tiada sebarang catatan tentang tindak balas para putera Mesir Hilir terhadap pengisytiharan Kashta itu. Namun, mereka menentang keras usaha Piye yang mahu memperkukuhkan kuasa Kush ke atas wilayah tersebut. Piye langsung tidak mengadakan rundingan dengan putera-putera yang dilihat sebagai pemberontak. Beliau malah memberangkatkan pasukan tenteranya ke utara dan menakluk kesemua kota di Mesir Hilir lalu kembali semula ke kota Napata. Beliau membenarkan raja-raja yang telah ditakluk itu untuk terus menyandang jawatan mereka dan kembali memperkukuh kekuasaan serta meneruskan pemerintahan seperti sedia kala. Mereka hanya dituntut supaya memperakui Piye sebagai raja yang berkuasa ke atas mereka. Piye tidak pernah memerintah Mesir dengan berada di Thebes dan tidak pernah dilihat memberi atau mempunyai hasrat untuk berbuat demikian sesudah selesai kempen ketenteraannya itu.

Adik kepada Piye yang bernama Shabaka (721-707 SM) mewarisi dan meneruskan pemerintahannya di Napata. Kerabat di Mesir Hilir sekali lagi melakukan pemberontakan, namun berjaya ditewaskan oleh Shabaka. Beliau kemudian memperkukuhkan kekuasaan Kush di sepanjang Mesir Hilir hinggalah ke wilayah Delta. Ahli kaji Mesir pada awal abad ke-20 mendakwa bahawa zaman tersebut merupakan ‘zaman gelap’ buat Mesir apabila budaya Nubia mula kuat berpengaruh sehingga menenggelamkan nilai-nilai tradisi Mesir. Namun pada hakikatnya, kenyataan ini sama sekali tidak boleh dipertahankan. Kebudayan Nubia pada masa-masa itu seperti yang disebutkan di atas, telah pun dipengaruhi oleh budaya Mesir. Tambahan pula, Shabaka sendiri sangat mengagumi budaya Mesir sama seperti abang dan ayahnya. Beliau secara berterusan memantau dasar-dasar Mesir dan menghormati kepercayaan masyarakat tersebut. Beliau malah melantik adiknya yang bernama Haremakhet sebagai Paderi Tinggi Amun di Thebes sekaligus secara efektif menjadikannya sebagai penguasa di Mesir. Shabaka turut mengusahakan projek pembinaan dan pembaikpulihan di seluruh negara. Hal ini sekaligus menjadi petanda bahawa Shabaka sama sekali tidak menghapuskan budaya Mesir, malah memeliharanya dengan sangat baik.

Tanpa menghimpunkan sebarang pasukan tentera atau memulakan sebarang konflik dengan masyarakat Mesir, Kashta berjaya mengasaskan Dinasti ke-25 Mesir, di mana di bawah dinasti tersebut, negara diperintah oleh monarki Kush.

Adik (atau anak saudara) kepada Shabaka yang bernama Shebitku (707-609 SM) kemudian mewarisi kedudukannya. Pemerintahan beliau bermula dengan baik sehinggalah tiba rentang waktu di mana beliau berkonflik dengan Assyria. Mesir kekal berfungsi sebagai zon penampan di antara perbatasan utaranya dengan wilayah Mesopotamia. Kerajaan-kerajaan seperti Judah dan Israel pada waktu itu menentang dominasi yang dilakukan oleh Assyria (Mesopotamia). Pemimpin mereka, iaitu Ashod yang menentang raja Assyrian yang bernama Sargon II (722-705 SM) diberikan perlindungan dan sokongan daripada Shabaka. Dinasti ke-25 berterusan menyokong kerajaan-kerajaan tersebut dalam penentangan mereka terhadap Assyria. Hal tersebut kemudiannya menjadi pendorong kepada pasukan tentera Assyria untuk memasuki Mesir pada tahun 671 SM di bawah kepemimpinan raja mereka yang bernama Esarhaddon.

Esarhaddon berhadapan dengan raja Kush yang bernama Taharqa (c. 690-671 SM) dalam sebuah pertempuran. Beliau berjaya menewaskan pasukan tentera Kush dan menawan keluarga Taharqa berserta pegawai-pegawai kehormat kerajaan Kush dan Mesir. Mereka kemudian dihantar ke Nineveh dalam keadaan dibelenggu. Taharqa sendiri kemudian berjaya meloloskan diri dan berlindung di Napata. Kedudukannya diwarisi oleh Tantamani (c. 669-666 SM) yang meneruskan permusuhan dengan Assyria. Beliau akhirnya ditewaskan oleh Ashurbanipal yang menakluk Mesir pada tahun 666 SM.

Kota Agung Meroe

Dinasti ke-25 berakhir pada masa pemerintahan Tantamani. Pihak Assyria kemudiannya menggantikan beliau dengan seorang raja boneka yang bernama Necho I. Putera kepada Necho I, iaitu Psammeticus I (juga dikenali sebagai Psamtik I, c. 665-610 SM) mengenepikan autoriti Assyria dan mengasaskan Dinasti ke-26 Mesir. Psammeticus I dan pewarisnya, iaitu Necho II menjalankan pemerintahan dengan baik. Namun, pewaris Necho II iaitu Psammeticus II merasakan bahawa dirinya perlu melancarkan sebuah ketenteraan yang hebat agar dapat berdiri setaraf dengan firaun-firaun agung dari Kerajaan Baru. Makanya, beliau pun memimpin sebuah ekspedisi memerangi Kush. Dalam kempen tersebut, beliau memusnahkan kota, kuil, monumen, stele, dan akhir sekali kota Napata sebelum beliau sendiri naik bosan dengan kempen tersebut lalu pulang ke Mesir.

Pada masa-masa itu, iaitu sekitar tahun 590 SM, ibu kota Kerajaan Kush berpindah jauh ke selatan di kota Meroe sebagai langkah keselamatan. Raja-raja Meroe masih terus mengadaptasi budaya dan fesyen Mesir serta menerapkan dasar serta amalan keagamaan mereka sehingga zaman pemerintahan raja Arkamani I (juga dikenali sebagai Ergamenes, 295-275 SM). Pendeta-pendeta Amun telah lama memegang kuasa ke atas monarki Kush dengan memperuntukkan suatu tempoh tertentu bagi pemerintahan seseorang raja. Apabila dewa memberikan isyarat bahawa masa tersebut sudah tamat, maka raja itu perlu mati dan raja lain akan dipilih oleh para pendeta.

The Pyramids of Meroe
The Pyramids of Meroe
by B N Chagny (CC BY-SA)

Menurut seorang sejarahwan yang bernama Diodorus Siculus (abad pertama SM), Arkamani I mendapat pendidikan dalam bidang falsafah Yunani justeru enggan dikawal oleh ketahyulan yang dianuti oleh para pendeta. Oleh kerana itu, beliau memimpin sepasukan tentera untuk menyerang kuil, menyembelih kesemua pendeta dan menamatkan kekuasaan mereka ke atas monarki. Beliau kemudian menetapkan polisi dan amalan (keagamaan) yang baru, termasuklah meninggalkan budaya Mesir dan memberi penekanan terhadap Kush. Arkamani I turut membuang penulisan hieroglif untuk digantikan dengan penulisan yang dikenali sebagai Meroitic. Fesyen masyarakat Meroe semasa pemerintahannya juga ikut berubah dan dewa-dewa Mesir diasimilasikan dengan dewa-dewa Kush, seperti Apedemak. Tradisi memakamkan kerabat diraja di kota Napata juga ditinggalkan dan mereka dimakamkan di kota Meroe.

Satu lagi pembaharuan menarik yang berlaku semasa pemerintahan Arkamani I adalah penubuhan monarki wanita di kota Meroe. Ratu-ratu ini yang dikenali sebagai Candaces (juga Kandake atau Kentake) memerintah pada rentang waktu antara 284 SM hingga 314 M. Walaupun mereka mempunyai pengiring-pengiring khas yang berjantina lelaki semasa menghadiri upacara-upacara umum, namun mereka tidak tunduk pada dominasi kaum lelaki. Catatan paling awal berkenaan kekuasaan seorang ratu Meroe adalah melibatkan Shanakdakhete (c. 170 SM) yang digambarkan lengkap berpakaian besi semasa memimpin pasukan tenteranya dalam sebuah pertempuran. Gelaran Candace diandaikan memikul maksud ‘Ratu Ibu’, namun tidak dapat dipastikan maksudnya yang lebih tepat. Ia mungkin turut bermaksud ‘kerabat wanita’ atau ‘ibu raja’. Namun apapun, ratu-ratu yang memegang gelaran itu tampil sebagai monarki yang tidak tunduk pada kaum lelaki. Salah seorang ratu Candace yang bernama Amanirenas (c. 40-10 SM) pernah memimpin pasukan tenteranya dengan jaya dalam Perang Meroitic yang melibatkan kekuatan Kush dan kekuatan Rom (27-22 SM). Beliau malah mampu mengadakan rundingan dan meletakkan terma-terma yang menguntungkan pihaknya dalam perjanjian damai yang dimeterai dengan Augustus Caesar.

Kesimpulan

Kota Meroe yang terletak di tebing Sungai Nil merupakan sebuah pusat pertanian dan perindustrian yang hebat. Ia turut berfungsi sebagai ibu kota Kerajaan Kush dan meraih kekayaan tambahan menerusi hasil pertukangan besi dan aktiviti perdagangan. Bijirin dieskport bersama kelengkapan senjata dan peralatan besi. Manakala haiwan-haiwan ternakan digembala dengan subur di ladang yang terletak di sekitar kota. Meroe sangat kaya hinggakan ia menjadi sebuah legenda dan raja Parsi yang bernama Cambyses II (525-522 SM) dikatakan pernah melancarkan ekspedisi untuk menjarahnya. Jika ekspedisi tersebut benar-benar pernah dilancarkan, maka nyatanya ia tidak pernah berhasil sampai di kota tersebut. Legenda turut mendakwa bahawa pasukan tentera Cambyses II itu ditewaskan oleh rupa bumi dan cuaca buruk.

Hutan-hutan tebal tumbuh jauh di tanah subur yang terletak di sekitar kota yang diairi oleh Sungai Nil. Golongan kelas atasan hidup di rumah-rumah besar dan istana-istana yang dihiasi dengan jalan yang diapit oleh patung-patung. Sementara golongan kelas bawahan pula hidup dalam rumah berbata yang diperbuat daripada lumpur ataupun pondok. Menurut inskripsi purba, keadaan rakyat yang paling miskin di Meroe masih lebih baik berbanding penduduk di tempat lain. Kuil Amun yang terletak di pusat kota dilaporkan kaya dengan batu permata dan kemegahannya setaraf dengan kuil lama yang terletak di Napata.

Menjelang tahun 330 M, Kerajaan Aksum melancarkan serangan ke atas Meroe dan menjarah kota itu. Walaupun kota itu masih dapat bertahan selama 20 tahun, serangan Aksum itu secara efektif telah memusnahkannya. Bahkan kalaupun serangan itu tidak berlaku, kota Meroe tetap akan mengalami kemusnahan. Hal ini kerana industri besi yang dijalankan di kota itu memerlukan jumlah kayu yang banyak sekaligus mengakibatkan hutan yang dahulunya tumbuh dengan lebat dan tebal perlu ditebang. Haiwan-haiwan gembalaan yang terlalu banyak pula telah meragut rumput-rumput di ladang secara berlebihan. Begitu juga dengan aktiviti cucuk tanam yang tidak tersusun telah menyebabkan tanah menjadi tidak subur. Sebelum bala tentera Aksum tiba di kota itu, Meroe telah terlebih dahulu mengalami fasa kejatuhan dan perlu ditinggalkan. Sebaik sahaja penduduk terakhir melangkah keluar dari kota itu pada tahun 350 SM, Kerajaan Kush yang memiliki sejarah yang panjang pun menemui pengakhirannya.

Remove Ads

Advertisement

About the Translator

Amir Zayyanid
A freelance writer and translator at The Patriots Malaysia, Kuala Lumpur.

About the Author

Joshua J. Mark
A freelance writer and former part-time Professor of Philosophy at Marist College, New York, Joshua J. Mark has lived in Greece and Germany and traveled through Egypt. He has taught history, writing, literature, and philosophy at the college level.