Zaman Kofun

Inti Sari

Tony Hoang
oleh , diterjemahkan oleh Amir Zayyanid
diterbitkan pada 23 March 2016
X
translations icon
Terdapat dalam bahasa lain: Bahasa Inggeris, Perancis, Bahasa Indonesia
Wild Boar Haniwa (by The Trustees of the British Musem, Copyright)
Babi Haniwa
The Trustees of the British Musem (Copyright)

Menyusuli Zaman Yayoi, di mana teknik pertanian dan pertukangan logam mula diperkenalkan di Jepun dari tanah besar Asia ialah Zaman Kofun (sekitar 250 Masihi - 538 Masihi), di mana kepercayaan Shinto lahir daripada kepercayaan pada zaman lalu. Klan Yamato pula memegang tampuk kuasa dan membentuk keluarga diraja. Zaman ini dinamakan bersempena nama gaya gundukan pengebumian yang diamalkan pada masa itu.

Gundukan Pengebumian

Zaman Kofun dicirikan oleh penggunaan gundukan-gundukan pengebumian yang dibina untuk golongan bangsawan, dengan saiz dan bentuk yang pelbagai. Bermula daripada gundukan berbentuk petak atau bulat yang berukuran beberapa meter panjang, hinggalah gundukan berbentuk lubang kunci yang sepanjang ratusan meter. Makam-makam di zaman awal agak ringkas, di mana ia hanya mengandungi keranda yang dikuburkan di puncak gundukan atau di dalam sebuah kamar batu. Namun pada Zaman Kofun, barang pengebumian turut dikuburkan di dalam makam. Antaranya seperti senjata, perhiasan atau barangan peribadi lain, bergantung pada status pemilik makam berkenaan. Individu yang berkuasa lazim dikuburkan bersama ribuan barangan di dalam gundukan-gundukan yang terpisah yang khusus dibina bagi tujuan tersebut. Sebahagian gundukan-gundukan pengebumian pada era awal dihasilkan daripada bukit asli. Namun menjelang 400an Masihi, semakin banyak gundukan buatan yang dibina di atas tanah rata dan dilengkapi dengan parit. Pada Zaman Kofun Lewat, saiz gundukan-gundukan pengebumian semakin kecil dan digunakan secara lebih meluas oleh individu-individu yang berstatus rendah, di mana gundukan-gundukan sepanjang 15 meter dibina bagi membentuk tanah perkuburan. Kofun yang paling awal ditemui adalah di Honshu tengah, sekitar wilayah Kyoto, Nara dan Osaka moden. Tanah-tanah perkuburan ini dibina pada awal kurun ke-4 Masihi. Pada separuh kedua kurun yang sama, ia tersebar hingga ke Kyushu di selatan dan kawasan-kawasan utara dan timur Honshu. Gundukan-gundukan pengebumian ini menunjukkan ciri-ciri yang berbeza berdasarkan status dan agama si mati.

Sisihkan Iklan
Advertisement

Seni Penghasilan Tembikar

Salah satu kemajuan yang paling mengagumkan dalam seni penghasilan tembikar pada Zaman Kofun adalah kemunculan Haniwa, iaitu patung pengebumian yang lazimnya berbentuk ukiran kuda, pahlawan-pahlawan yang lengkap bersenjata, bangsawan yang berpakaian mewah, petani dan juga penari. Patung-patung ini kebiasaannya diletakkan di dalam gundukan pengebumian dan makam-makam sebagai barang pengebumian.

Sueki Stoneware from the Kofun Period
Batu Sueki dari Zaman Kofun
The Trustees of the British Museum (Copyright)

Tembikar-tembikar yang mempunyai kegunaan secara harian dihasilkan dalam gaya Sueki, yang memiliki banyak penambahbaikan berbanding gaya-gaya terdahulu yang digunakan di Zaman Yayoi dan Jomon. Tembikar-tembikar ini diperbuat daripada tanah liat berwarna biru-hijau, dihasilkan menggunakan roda tembikar, dan dibakar di dalam tanur pada suhu sekitar 1000 hingga 1200 darjah Celsius, iaitu suhu yang sama digunakan dalam penghasilan tembikar di zaman moden.

Sisihkan Iklan
Advertisement

Teknologi

Kebanyakan teknologi yang digunakan pada zaman ini adalah sama seperti yang digunakan pada zaman-zaman terdahulu, walaupun teknologi mengalami kemajuan yang agak ketara pada Zaman Kofun. Penanaman padi mula dilakukan di kawasan-kawasan yang lebih tinggi, sistem pengairan berkembang dengan lebih kompleks, dan pertukangan besi pula semakin tersebar luas. Besi kemudiannya menggantikan gangsa sebagai logam pilihan bagi menghasilkan alat-alatan dan senjata lantaran timah yang diperlukan dalam pertukangan gangsa semakin sukar ditemui menjelang zaman ini. Sebaliknya, sumber besi lebih banyak dan menjadi lebih kukuh pada zaman-zaman terkemudian.

Shinto

Perkataan Shinto boleh diterjemahkan sebagai 'jalan para dewa' dan kepercayaan ini menumpu pada aktiviti ritual yang bertujuan untuk mengekalkan gaya hidup yang sempurna dan perhubungan dengan dewa-dewi.

Walaupun kepercayaan Shinto dikatakan muncul pada zaman ini, perkembangannya sudah pun berakar sejak era-era terdahulu seperti Yayoi, di mana amalan menyembah dewa-dewi muncul buat kali pertama pada zaman tersebut. Perkataan Shinto boleh diterjemahkan sebagai 'jalan para dewa' dan kepercayaan ini menumpu pada aktiviti ritual yang bertujuan untuk mengekalkan gaya hidup yang sempurna dan perhubungan dengan dewa-dewi, atau Kami, sebagaimana yang disebutkan di dalam bahasa Jepun. Kami ialah dewa-dewi atau semangat-semangat yang mewakili kuasa-kuasa alam seperti laut, matahari, angin, ribut, bulan, serta perkara-perkara lain seperti perang dan alam kematian. Walaupun kebanyakan Kami dikaitkan dengan alam, sebahagiannya hadir dalam bentuk manusia, baik yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia, dan juga barang, lebih-lebih lagi jika individu tersebut mempunyai sifat-sifat yang sempurna seperti maharaja, pahlawan atau orang-orang besar. Pada mulanya, tiada bangunan seperti kuil atau tempat suci yang diperlukan untuk memuja Kami. Sebarang bentuk penyembahan hanya dilakukan di tempat terbuka atau lokasi-lokasi keramat seperti hutan dan penyembahan ini dilakukan oleh sesiapa sahaja yang berhajat. Pada masa-masa terkemudian, Kami dipuja di kuil dan rumah-rumah suci. Pemujaannya pula dilakukan oleh ketua-ketua kuil atau golongan sami. Makam-makam Shinto ini lazimnya dicirikan oleh gerbang torii. Menurut kepercayaan Shinto, Kami tidaklah tinggal di dalam rumah suci, kuil atau lokasi keramat yang dinisbahkan kepada mereka. Sebaliknya, mereka hanya mengunjungi tempat-tempat tersebut dan menghuni patung atau imej yang menggambarkan mereka.

Sisihkan Iklan
Advertisement

Kebangkitan Yamato

Sebelum Yamato memegang kuasa, klan-klan yang ada saling berkonflik antara satu sama lain bagi berebutkan hegemoni. Mereka lazim berseteru dan kadangkala membentuk persekutuan, menggunakan pelbagai taktik demi mencapai matlamat yang diinginkan. Namun, tiada klan atau kumpulan klan yang berupaya meraih jumlah kuasa yang seimbang. Pada kurun ke-5 Masihi, sebuah klan sekeluarga muncul dominan di Kepulauan Honshu dan Kyushu. Pangkalan asal klan ini ialah wilayah Kyoto, Nara dan Osaka moden. Setiap klan dipimpin oleh seorang lelaki berusia yang akan melaksanakan upacara keagamaan bagi memuliakan Kami dan memelihara kebajikan klan serta wilayah kekuasaan mereka. Anggota klan ini terdiri daripada golongan bangsawan, yang pada penghujung zaman ini membentuk keluarga diraja.

Haniwa, Kofun Period
Haniwa, Tempoh Kofun
The Trustees of the British Museum (Copyright)

Menerusi persekutuan yang dibentuk dengan klan, suku, dan bahkan konfederasi lain, serta penggunaan alatan besi secara meluas dan keupayaannya untuk menghimpunkan penyokong secara efektf, Yamato berupaya menjadi sebuah kuasa ketenteraan yang berpengaruh. Walaupun Yamato masyhur dengan keampuhan tenteranya, mereka seboleh mungkin cuba menghindari perang dan sebaliknya berusaha menjalinkan persekutuan dengan klan-klan menerusi penawaran jawatan dalam sistem politik mereka. Seandainya usaha ini gagal, maka mereka kebiasaannya akan mengugut dan memaksa klan-klan tersebut untuk memeterai perjanjian. Klan-klan utama yang menyokong Yamato, seperti Soga, Mononobe, Nakatomi, Kasuga, Ki, Otomo dan Haji, dipanggil secara kolektif sebagai uji dan mereka ini diberikan pangkat atau gelaran berdasarkan tahap kesetiaan atau perkhidmatan yang mereka curahkan. Menyusuli uji ialah kumpulan-kumpulan yang dipanggil sebagai be, iaitu sekumpulan pekerja yang terdiri daripada pembuat kertas, jurutulis, dan tukang besi. Termasuk juga di dalam uji dan be ini sebahagian imigran yang datang dari China dan Korea yang memiliki kemahiran dalam profesion-profesion yang dimahukan oleh Yamato, seperti pertukangan logam dan pembuatan kertas. Di bawah kedua kumpulan ini adalah kumpulan hamba, yang mana anggota-anggotanya terdiri daripada banduan perang mahupun mereka yang dilahirkan dalam kasta tersebut.

Hubungan Dengan China & Korea

Dipercayai bahawa Klan-Klan Yamato Jepun turut menjalinkan hubungan diplomatik dengan Kerajaan Paekche di Korea pada tahun 366 Masihi dan mempunyai pangkalan di selatan semenanjung itu, di mana mereka mentadbirnya sehinggalah dikalahkan oleh Kerajaan Silla pada tahun 562 Masihi. Menurut beberapa buah rekod China, pada tempoh antara 413 Masihi dan 478 Masihi, terdapat lima orang raja Jepun yang menghantar sebanyak sembilan buah perutusan yang membawa ufti ke China demi mendapatkan sokongan empayar itu di Semenanjung Korea. China menerima ufti daripada Jepun itu menerusi perantaraan Korea, dan Jepun sendiri menerima imigran yang datang dari China dan Korea yang mereka ini membawa bersama kemahiran dan ilmu pengetahuan yang dimiliki, di mana kemasukan-kemasukan ini amat dihargai oleh Jepun demi meningkatkan kebudayaan mereka.

Sisihkan Iklan
Advertisement

Peralihan Ke Zaman Asuka

Menjelang penghujung Zaman Kofun, Yamato sudah pun mengembangkan kuasanya dan menjadi Dinasti Diraja Jepun. Interaksi antara Jepun dengan China dan Korea semakin meningkat, dan kepercayaan Shinto sudah pun muncul. Peralihan ke zaman seterusnya, iaitu Zaman Asuka (538 – 710 Masihi) ditandai oleh kemasukan Buddhisme, penerapan huruf-huruf China sebagai sistem penulisan (memandangkan masyarakat asli Jepun tidak mempunyai sistem penulisan tersendiri) dan penerapan budaya-budaya masyarakat China yang lain, memandangkan Jepun memandang China sebagai sebuah masyarakat yang bertamadun dan maju, justeru berhajat untuk meneladaninya.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Daftar Pustaka

Ensiklopedia Sejarah Dunia adalah Associate Amazon dan memperoleh komisen untuk pembelian buku yang layak.

Darihal Penterjemah

Amir Zayyanid
Penulis dan penterjemah bebas di The Patriots Malaysia, Kuala Lumpur

Nyatakan Kerja Ini

Gaya APA

Hoang, T. (2016, March 23). Zaman Kofun [Kofun Period]. (A. Zayyanid, Penterjemah). World History Encyclopedia. Diperolehi dari https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-14484/zaman-kofun/

Gaya Chicago

Hoang, Tony. "Zaman Kofun." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. Terakhir diubah suai March 23, 2016. https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-14484/zaman-kofun/.

Gaya MLA

Hoang, Tony. "Zaman Kofun." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. World History Encyclopedia, 23 Mar 2016. Web. 18 Apr 2024.