Empayar Ghana

Definition

Mark Cartwright
by , translated by Amir Zayyanid
published on 05 March 2019

Original text in English: Ghana Empire

Traditional House, Oualata (by c.hug, CC BY-SA)

Empayar Ghana mengecapi kepesatan di Afrika Barat setidak-tidaknya pada kurun ke-6 hingga kurun ke-13 Masihi. Empayar ini terletak di wilayah savannah Sudan barat (selatan Maruitania dan Mali moden) dan diapit oleh gurun Sahara di sempadan utara dan hutan tebal di selatan. Empayar ini juga sama sekali tidak terkait secara geografi dengan negara Ghana moden. Aktiviti perdagangannya dipermudahkan dengan sumber besi, tembaga, emas dan gading yang banyak di samping akses yang mudah ke Sungai Niger, Sungai Senegal dan anak-anak sungainya. Raja-raja Ghana yang mendiami ibu kota yang terletak di Koumbi Saleh menikmati kekayaan yang berlimpah-ruah, sambil menimbunkan jongkong-jongkong emas yang hanya boleh dimiliki oleh mereka sahaja. Secara bertahap tetapi pasti, reputasi Ghana tersebar ke Afrika Utara dan Eropah, di mana empayar berkenaan disifatkan sebagai sebuah tanah emas. Empayar Ghana mula runtuh pada kurun ke-12 Masihi akibat kemarau, perang saudara, dan pembukaan jalan-jalan perdagangan di kawasan lain, serta kebangkitan Kerajaan Sosso (sekitar 1180-1235 Masihi) dan seterusnya Empayar Mali (1240-1645 Masihi).

Afrika Barat & Wilayah Sudan

Wilayah Sudan di Afrika Barat (tidak sama dengan negara Sudan moden), tempat di mana berdirinya Empayar Ghana, telah pun dihuni sejak zaman Neolitik lagi sebagaimana yang terbukti menerusi penemuan tumuli (gundukan tanah), megalit dan runtuhan kampung-kampung pada Zaman Besi. Sungai Niger lazim menggenangi bahagian tanah berumput kering dan savannah ini sekaligus menyuburkannya bagi tujuan pertanian yang dimulakan setidak-tidaknya pada 3500 tahun yang lalu. Aktiviti ini turut dibantu oleh curahan hujan tahunan yang mencukupi di wilayah berkenaan. Bijirin seperti beras Afrika dan sekoi tumbuh dengan sihat. Begitu juga dengan biji legum, hasil tuber dan akar, tumbuhan minyak dan fiber, dan buah-buahan. Perikanan dan penternakan lembu dan kambing juga merupakan antara aktiviti lain yang signifikan di kawasan ini.

Remove Ads

Advertisement

Nama Ghana besar kemungkinan diambil daripada gelaran tempatan yang membawa maksud ‘raja’.

Simpanan tembaga tempatan dieksploitasi dan digunakan bagi tujuan perdagangan. Hasil-hasil logam di wilayah iu pula boleh dijejak kembali usianya pada kurun ke-6 Masihi sebagaimana yang dibuktikan menerusi penemuan-penemuan arkeologi. Selain itu, turut ditemui sejumlah besar tembikar yang sebahagiannya diperdagangkan di seluruh rantau itu, sepertimana yang diisyaratkan oleh analisa kimia yang dilakukan terhadap tembikar berkenaan. Sumber-sumber emas juga dilombong dan kemudian dijual di sepanjang laluan air di rantau itu. Namun, bukti konkrit yang dapat mengesahkan hal ini masih kurang. Sememangnya, pengetahuan sejarah wilayah Sudan dan Empayar Ghana sebelum kurun ke-11 masih kabur lantaran kekurangan sumber-sumber bertulis dan penemuan arkeologi. Namun, hasil arkeologi bertambah secara drastik menjelang kurun ke-21 Masihi dan usia serta jangkauan perdagangan di Afrika Barat secara khusus, terbukti lebih luas dan tua berbanding yang dijangka sebelum ini.

Penubuhan

Tahun tepat penubuhan Empayar Ghana, atau Kerajaan Ghana masih belum diketahui. Berkemungkinan ia ditubuhkan seawal kurun ke-6 Masihi. Namun, bukti politik tertentu didapati tidak wujud melainkan pada masa-masa terkemudian. Zaman kemuncak empayar ini pula diperkirakan berlangsung pada kurun ke-9 hingga kurun ke-11 Masihi. Nama Ghana besar kemungkinan diambil daripada gelaran tempatan yang membawa maksud ‘raja’.

Trans-Saharan Trade Routes
Trans-Saharan Trade Routes
by Aa77zz (Public Domain)

Majoriti rakyat Empayar Ghana terdiri daripada suku Soninke (atau Sarakole), yang menuturkan bahasa Mande (atau Mandingo). Mereka ini menghuni kawasan savannah yang terletak di antara Sungai Niger (di tenggara) dan Sungai Senegal (di barat daya). Sungai-sungai ini dan gurun Sahara di utara membentuk segi tiga semula jadi yang kemudiannya menjadi tapak berdirinya Empayar Ghana (kini meliputi sebahagian wilayah selatan Mauritania dan Mali). Wilayah ini didominasi oleh suku Soninke yang lazim dipanggil sebagai Wagadu dalam tradisi lisan masyarakat asli, atau Wangara, sebagaimana yang digunakan oleh ahli-ahli geografi Muslim bagi merujuk wilayah tengah Niger.

Remove Ads

Advertisement

Koumbi Saleh

Besar kemungkinan ibu kota bagi Empayar Ghana ialah Koumbi Saleh (memandangkan tiada calon lain yang lebih munasabah). Koumbi Saleh yang juga dikenali sebagai Ghana terletak kira-kira 322 km (200 batu) arah utara dari Bamako, Mali moden. Ibu kota ini sebenarnya lebih besar berbanding yang dijangka oleh sejarahwan – sumber Arab pada zaman pertengahan menganggarkan populasinya seramai 40 000 – 50 000 orang dilihat dan angka ini dilihat munasabah terutama jika dilihat juga pada hasil penggalian yang dilakukan kebelakangan ini. Hasil ekskavasi mendapati keluasan kota tersebut mencecah 110 ekar (45 hektar) dan terdapat sejumlah petempatan kecil di sekelilingnya. Hasil-hasil arkeologi juga menjumpai runtuhan sejumlah masjid, dataran awam yang besar dan bahagian-bahagian tembok serta monumen gerbang. Rumah-rumah di kota ini secara tipikalnya mempunyai satu tingkat dan diperbuat daripada bata lumpur yang dijemur, tanah lumat dan kayu ataupun batu. Kesemua bahan ini digunakan di rantau tersebut semenjak zaman prasejarah sehinggalah ke hari ini. Seorang pengembara Arab bernama Al-Bakri yang mengunjungi kota itu pada tahun 1076 Masihi memerincikan bahawa ibu kota Empayar Ghana dikelilingi oleh tembok dan ladang-ladang sayur yang dilengkapi dengan sistem perairan. Beliau turut melanjutkan kenyataannya:

“Si raja mempunyai sebuah istana dan sejumlah kediaman berkubah yang semua ini dikelilingi oleh tembok seperti tembok kota… Di sekitar kota raja terdapat bangunan-bangunan berkubah dan gugusan pokok serta belukar yang menjadi tempat kediaman para pendeta, yakni individu yang berperanan dalam hal-hal keagamaan dalam masyarakat ini. Di dalamnya, terdapat patung-patung sembahan mereka dan makam raja-raja mereka.

(dipetik daripada Fage, 668)

Raja & Pentadbiran

Sebagai sebuah gabungan kampung-kampung yang diperintah oleh seorang raja, empayar ini berupaya berkembang dengan pesat berkat kewujudan pasukan tentera terlatih yang mempunyai unit kavalri, di samping akses ke bahan-bahan mentah seperti bijih besi untuk menghasilkan senjata serta simpanan emas untuk membayar gaji para tentera. Tukang-tukang besi dan penempa logam meraih kedudukan yang tinggi di wilayah Sudan. Selain itu, dengan memiliki unta-unta yang antara kegunaannya adalah sebagai pengangkut manusia dan barang dagangan, masyarakat Soninke berupaya meraih keulungan berbanding seteru-seteru mereka. Berbekalkan kelebihan-kelebihan ini, Empayar Ghana berjaya menguasai wilayah-wilayah lain dan banyak ufti dapat dikutip daripada para pembesar yang ditakluki, sekaligus membolehkan mereka memonopoli perdagangan tempatan dan seterusnya perdagangan serantau.

Trans-Saharan Camel Caravan
Trans-Saharan Camel Caravan
by Holger Reineccius (CC BY-SA)

Raja Ghana merupakan monarki mutlak dan pemimpin keagamaan dalam empayar. Mereka turut memiliki sisi mistik lantaran peanannya sebagai pemimpin kepercayaan animisme dalam kalangan rakyatnya. Sembah korban dan upacara meminum arak bagi pihak dewa-dewi dilakukan atas nama raja. Peraturan-peraturan etika yang ketat berkenaan menghormati kehadiran raja juga digariskan. Apabila si raja mangkat, makamnya diletakkan di sebuah gugusan pokok suci yang tidak boleh dimasuki oleh sesiapa pun. Pengembara Al-Bakri menyifatkan raja Ghana sebagaimana berikut:

Remove Ads

Advertisement

“Raja menghiasi dirinya seperti seorang wanita, memakai rantai leher dan gelang, dan apabila menghadap rakyat jelata, beliau akan mengenakan topi tinggi yang dihiasi emas dan melilit serban dengan kapas yang berkualiti… Di belakang raja berdiri sepuluh orang kesatria yang masing-masing dilengkapi perisai dan pedang yang bertatahkan emas. Di kanannya pula terdapat putera-putera kepada raja-raja bawahannya yang masing-masing berpakaian indah dan rambut mereka disadur dengan emas.

(dipetik daripada Krieger, 322)

Raja banyak bergantung pada bantuan para penasihat. Bermula dari kurun ke-11 Masihi, raja-raja Ghana bahkan mengupah para pedagang Muslim untuk bertindak selaku penterjemah dan pegawai yang membantu hal-ehwal ekonomi empayar dan menyemak barang dagangan yang keluar masuk.

Perdagangan Di Afrika Barat

Barang dagangan sering dikenakan cukai sebanyak dua kali; sekali semasa mereka memasuki wilayah empayar dan sekali lagi semasa mereka keluar meninggalkan empayar.

Empayar Ghana mendominasi perdagangan di bahagian tengah Afrika Barat, tepatnya di bahagian atas lembah Sungai Niger sejak kurun ke-6 atau kurun ke-7 Masihi. Dominasi perdagangan serantau ini amat lumayan buat raja-raja Ghana. Mereka menghantar barang dagangan seperti emas, gading, kulit, bulu burung unta, dan hamba sahaya kepada para pedagang Muslim (khususnya Berber-Sanhaja) yang mengirimkan kafilah-kafilah unta yang membawa garam dari Afrika Utara. Barang dagangan ini sering dikenakan cukai sebanyak dua kali; sekali semasa mereka memasuki wilayah empayar dan sekali lagi semasa mereka keluar meninggalkan empayar.

Selain pendapatan daripada perdagangan ini, Empayar Ghana juga mempunyai sumber-sumber alamnya yang tersendiri, terutama sekali bijih besi dan emas yang tersimpan di dalam lapangan-lapangan yang ada di Bambuk. Sumber-sumber ini kebiasaannya digunakan oleh golongan elit untuk ditukarkan dengan barangan mewah seperti tekstil, manik, tembaga dan kuda yang kesemuanya ini dibawa oleh para pedagang Arab yang datang dari utara. Selain emas, barang lain yang digunakan sebagai matawang di Ghana ialah dawai tembaga. Raja-raja Ghana mengharamkan pemilikan jongkong-jongkong emas, justeru para pedagang hanya boleh memiliki habuk-habuk emas sahaja. Dasar ini selain bertujuan untuk menonjolkan kedudukan raja, ia juga memastikan harganya tidak jatuh lantaran diedarkan dengan kuantiti yang banyak pada satu-satu masa.

Remove Ads

Advertisement

The Ghana Empire
The Ghana Empire
by Luxo (CC BY-SA)

Pengaruh Muslim

Islam tersebar di seluruh rantau itu berkat usaha para pedagang Muslim, terutama ketika mereka berinteraksi dengan para pedagang tempatan dan golongan elit yang tinggal di kawasan urban. Para pemerintah tempatan mungkin menyedari bahawa mengamalkan agama Islam, atau setidak-tidaknya bertolak-ansur dengannya bakal memberikan manfaat kepada perdagangan mereka. Apapun bagi Empayar Ghana, tiada sebarang bukti yang menunjukkan bahawa raja-raja mereka memeluk Islam. Akan tetapi, ibu kota Koumbi Saleh diketahui terbahagi kepada dua buah bandar yang berbeza pada pertengahan kurun ke-11 Masihi. Sebuah bandar didiami oleh masyarakat Muslim dan mempunyai 12 buah masjid sementara bandar lain yang berjarak hanya 10 kilometer dan disambungkan dengan bangunan demi bangunan, merupakan kediaman diraja. Di sana juga terdapat banyak kuil kepercayaan tradisional dan sebuah masjid untuk kegunaan para pedagang yang datang menyinggah. Pembahagian bandar ini mencerminkan keadaan di mana kepercayaan animisme tempatan wujud bersama ajaran Islam, yang mana kepercayaan animisme kebanyakannya diamalkan oleh masyarakat pedalaman.

Kemunduran

Peringkat pertama kemunduran Empayar Ghana bermula pada pertengahan kurun ke-11 Masihi. Sekitar tahun 1076 Masihi, ibu kota Empayar Ghana dijarah oleh Al-Murabitun yang datang dari Afrika Utara (sekitar 1055-1147 Masihi). Serangan ini berkemungkinan dilakukan sebagai susulan terhadap cubaan para pemerintah Ghana yang mahu menguasai perdagangan di pusat-pusat komersial di Ghana. Semenjak itu, Empayar Ghana mengalami kesukaran untuk bangkit. Para pemerintah mereka mungkin diasak dengan kuat oleh Al-Murabitun, namun bukti-bukti yang dapat mengesahkan sebarang penaklukan masih belum cukup konkrit. Sementara itu, bandar-bandar seperti Awdaghost (sekitar 1055 Masihi) hilang dari tangan Empayar Ghana sekaligus membolehkan para pedagang Berber menguasai perdagangan serantau secara langsung.

Empayar Ghana benar-benar mengalami keruntuhan pada kurun ke-12 Masihi. Kemunduran ini berlaku apabila laluan-laluan perdagangan yang lain dibuka jauh di timur sekaligus menjadi pesaingnya. Begitu juga dengan cuaca kering yang melanda selama beberapa tempoh, di mana keadaan ini menjejaskan hasil pertanian. Para pemerintah Ghana juga sama sekali tidak berupaya meneguhkan kekuasaan semasa empayar dihumban ke dalam kancah perang saudara yang melibatkan konflik antara Muslim dan penganut animisme. Sementara iu, ramai ketua pemberontak mengambil kesempatan ini untuk mengisytiharkan kemerdekaan dari cengkaman Empayar Ghana. Antara yang paling utama ialah Tekrur di wilayah Sudan Barat yang langsung sahaja menguasai wilayah di sekitar Sungai Senegal dan seterusnya menjalinkan pakatan dengan Al-Murabitun.

Kerajaan Sosso (atau Susu, sekitar 1180-1235 Masihi) merupakan pengganti Empayar Ghana yang paling utama, dan keadaan bertambah runcing dengan campur tangan oleh Al-Murabitun pada pertengahan kurun ke-12 Masihi. Namun, pemerintahan Sosso berlangsung singkat lantaran raja mereka, Sumanguru (atau Sumaoro Kante, memerintah dari 1200 Masihi) ditewaskan oleh Sundiata Keita pada tahun 1235 Masihi. Sundiata turut menakluk ibu kota Ghana pada tahun 1240 Masihi dan beliau melanjutkan kempennya dengan menubuhkan Empayar Mali (1240-1645 Masihi), empayar terbesar dan terkaya yang pernah disaksikan di Afrika.

Remove Ads

Advertisement

About the Translator

Amir Zayyanid
A freelance writer and translator at The Patriots Malaysia, Kuala Lumpur.

About the Author

Mark Cartwright
Mark is a history writer based in Italy. His special interests include pottery, architecture, world mythology and discovering the ideas that all civilizations share in common. He holds an MA in Political Philosophy and is the Publishing Director at AHE.